Cari Blog Ini

Sabtu, 19 April 2014

Zulkifli Noordin dan Nawawi Ahmad patut belajar dari kenyataan Ling Liong Sik ini..



Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan mendiang Karpal Singh sebagai pelajar yang suka main-main dan selalu gagal dalam peperiksaan.

Dr Ling yang tinggal sebilik dengan Karpal di asrama pada awal 1960-an berkata mereka bersama-sama menuntut di Universiti Malaya di Singapura.

"Kami menginap di asrama yang sama di Dunearn Road di Singapura dan saya mengingati beliau sebagai seorang pelajar nakal yang selalu gagal dalam peperiksaan.

"Semasa saya menjadi presiden kesatuan pelajar, Karpal masih di semester satu sebagai anggota jawatankuasa," kata beliau kepada pemberita sebelum memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di George Town semalam.

Beliau berkata, pada suatu ketika, Karpal bertekad untuk lulus semua kertas peperiksaan dan memperoleh ijazah untuk menjadi peguam yang dihormati dan beliau telah membuktikannya.

Ketika ditanya mengenai persahabatannya dengan Karpal, Dr Ling berkata kedua-dua mereka menjalin "hubungan rapat secara senyap" memandangkan mereka menyertai parti politik yang berbeza selepas memperoleh ijazah.

"Pernahkah anda mendengar Karpal memarahi Liong Sik atau saya memarahi Karpal. Tidak, kami tidak pernah memarahi satu sama lain di sebalik berbeza fahaman politik. Saya hanya memarahi DAP dan beliau cuma memarahi MCA.

"Saya amat merasai kehilangan Karpal dan negara juga kehilangannya," kata bekas menteri pengangkutan itu yang kelihatan sebak apabila menceritakan mengenai kawan lamanya.

Bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata Karpal selalu membangkitkan persoalan bagi kepentingan rakyat dalam sidang Dewan Rakyat.

"Saya dan beliau sama-sama menghadiri sidang Parlimen (Dewan Rakyat) selama beberapa tahun dan setiap kali beliau membangkitkan soalan, ia selalu untuk faedah rakyat.

"Apa sahaja soalan yang beliau bangkitkan, saya akan memberi jawapan yang memuaskan. Saya akan menyediakan maklumat lanjut jika beliau memerlukan penjelasan selanjutnyua.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan saya berasa amat sedih kerana kami telah kehilangan seorang rakan yang karib," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau mengenali Karpal semasa sama-sama menjadi anggota Parlimen pada 1986.

"Kami mungkin berbeza pendapat semasa perbahasan di Parlimen tetapi di luar, kami masih berkawan dan saya rasa pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata kerjaya politik Karpal lebih cemerlang daripada kebanyakan orang yang seangkatan dengannya pada masa itu.

"Karpal meninggalkan warisannya untuk dikenang oleh rakyat Malaysia terutama dalam politik dan juga dalam kalangan pengamal undang-undang," katanya.

Mereka yang memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di kediamannya di Jalan Utama di George Town semalam termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Karpal Singh terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pukul 1.10 pagi kelmarin. Mendiang berusia 74 tahun.

Turut terbunuh dalam nahas itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39 ~ Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan