SHAH ALAM 1 JUN: DAP sudah memainkan peranan dan tugas dengan cara
terbaik dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan biarpun Barisan
Nasional (BN) menang dengan majoriti amat tipis bagi mempertahan kerusi
itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata faktor pengundi
luar kawasan yang tidak mengundi merupakan antara punca DAP tidak dapat
mempertahankan kerusi itu yang memerlukan kajian mendalam.
Abdul Khalid berkata kegagalan itu juga disebabkan manifesto dan janji
yang ditawarkan oleh Kerajaan Pusat menyebabkan pengundi memilih calon
daripada BN.
“Walaupun
baru setahunnya berlangsungnya PRU-13, disebabkan kerana pengundi yang
tinggal di luar kawasan tidak pulang dan cara promosi calon BN, ia tidak
berpihak kepada DAP.
“Dalam PRK ini ada sokongan kuat dari Kerajaan Pusat untuk mempromosikan
dan memujuk pengundi untuk memilih calon BN,” katanya dalam sidang
media di Dewan Jubli Perak selepas merasmikan kursus perdana Skim
Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (SEROJA), di sini.
Abdul Khalid berkata, namun apa yang positifnya adalah peningkatan sokongan kaum Melayu dalam memberikan undi kepada calon DAP.
“Ada persamaan dengan PRK Kajang, saya merupakan Pengarah pilihan raya PKR, penglibatan komuniti Cina kurang.
“Seperti
di Kajang, ada sikap selesa antara pengundi Cina di Teluk Intan kerana
keputusan tiada kesan besar pada status quo, PRK ini bukan penting dan
mereka enggan pulang melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan semalam, Presiden Gerakan,
Datuk Mah Siew Keong memenangi pilihanraya itu apabila mendapat 20,157
undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya yang mendapat 19,919 undi,
memberikannya majoriti tipis iaitu sebanyak 238 undi.
Pada PRK itu, peratusan keluar mengundi adalah rendah iaitu sebanyak
66.67 atau 40,236 pengundi termasuk pengundi biasa, pengundi awal dan
pengundi tidak hadir berbanding 80.7 peratus pada Pilihanraya Umum ke 13
lepas.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.
Seah pada PRU 13 menang dengan majoriti 7,313 undi apabila memperoleh
27,399 undi sementara calon BN, Mah mendapat 20,086 undi manakala calon
bebas, Moralingam Kannan mendapat 279 undi.
EZY