Cari Blog Ini

Sabtu, 15 Jun 2013

Perang media dan potensi menang PRU14

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Apa faktor terbesar Umno-BN masih mengekalkan kuasa dalam PRU13 lebih sebulan lalu? Bagi Dr Mahathir Mohamad, kuncinya terletak kepada ketakutan majoriti pengundi Melayu terhadap kemungkinan Anwar Ibrahim bersama DAP menguasai Putrajaya. Rasa takut "kehilangan hak-hak Melayu" yang dsengaja dicipta ini disuntik melalui propaganda berterusan sehingga membentuk persepsi hodoh kepada Pakatan Rakyat

Namun begitu, ramai tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir itu. Tentulah lebih banyak pihak menyalahkan sistem, proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia. Dan ketempangan amalan demokrasi itu bukan hanya bermula daripada tarikh pembubaran Parlimen, tetapi sudah berakar umbi sejak lama, malah dianggap suatu kelebihan buat mana-mana parti pemerintah, yang jarang dibantah secara berkesan.

Saya sedaya upaya tidak mahu mengulangi hujah-hujah basi, tetapi terpaksa juga membawa penekanan hampir sama. Kadang-kadang isu-isu stereotaip terpaksa diulang selagi ia belum ditangani dengan tekun, berhemah dan serius. Kita memang menyenaraikannya sebagai faktor utama kekalahan dalam setiap kali pilihan raya, tetapi ia terus "terbiar" begitu sahaja, dan mengulangi punca-punca itu sebagai daleh tanpa mengatur pelan tindakan lebih bermakna.

Bagi saya -- begitu juga anggapan ramai pemerhati politik -- kekuatan Umno-BN masih terletak kepada penguasaan dan manipulasi media. Tentu ramai yang spontan mengangguk lesu, mengiakan hakikat "padang permainan masih tidak sama rata" ... tetapi apa perancangan strategik Pakatan untuk berdepan dengan serangan, ancaman dan pujukan kuasa media ini?

Dalam pada itu, tidak sedikit penyokong Pakatan akan menyatakan, kita sendiri sudah memiliki senjata paling berkesan, iaitu media baru -- termasuk media sosial yang lebih demokratik dan mudah dicapai -- yang dapat menyalurkan maklumat alternatif, menyanggah tohmahan media tradisional dan seterusnya membentuk persepsi masyarakat.

Saya tidak mahu terperangkap dalam polemik tidak berkesudahan ini. Kesimpulan mudah saya, meskipun capaian dan akses internet lebih menyeluruh, namun pengaruh akhbar, radio dan televisyen tetap menyerlah dan menyengat.

Kalaupun anda mempunyai perbedaan pandangan -- dan tetap berkeras bahawa kian ramai rakyat Malaysia yang tidak lagi melanggan akhbar harian, jarang-jarang sekali menonton siaran berita TV3, apatah lagi terkesan dengan berita radio -- ketepikan sekejap. Ya, mengapa kita tidak boleh sama-sama bersetuju bahawa kita juga berpeluang untuk membangunkan "sistem media" sendiri, yang lebih sofistikated atau sekurang-kurangnya setanding dengan BN?

Baru-baru didedahkan dalam satu forum mengenai persempadanan semula, berdasarkan kawasan pilihan raya sedia ada, Umno-BN boleh mendapat majoriti mudah di Parlimen hanya dengan menguasai kerusi-kerusi yang mempunyai sekitar 20 peratus saja. Dan kebanyakan kerusi terbabit adalah di luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak. Soalnya, setakat mana pengaliran maklumat secara cepat dan mudah di kawasan tumpuan atau "simpanan tetap" BN itu?

Mungkin DAP tidak menghadapi kesukaran berdepan karenah akhbar-akhbar Cina, sepertimana PAS dan KeADILan yang dianggap oleh harian berbahasa Melayu sebagai seteru yang mesti dimusnahkan. Pemimpin DAP masih diberikan liputan sewajarnya oleh akhbar Cina berbanding rakan-rakan mereka dalam Pakatan yang "dihenyak semahunya" oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Okey, saya tidak perlu membazirkan masa melukiskan kembali situasi berat sebelah ini, yang diwarisi zaman berzaman. Kita harus ada pelan bertindak.

Semua akur bahawa ketiga-tiga lidah rasmi parti-parti dalam Pakatan, terutama Harakah dan Suara Keadilan, amat tidak memadai untuk memikul tanggungjawab yang begitu besar. Dengan kekerapan penerbitan yang terbatas -- dua kali seminggu untuk Harakah, dan bertaraf mingguan untuk SK -- apatah lagi begitu mudah dijejaskan rangkaian pengedarannya disebabkan peruntukan undang-undang sedia ada, pengaruh kedua-dua media ini dapat dihadkan.

Justeru, saya menggesa agar tekanan dapat ditingkatkan bagi memastikan semua lidah rasmi parti politik tidak lagi dibataskan hanya kepada ahli-ahli parti sahaja, dan peraturan "karut-marut" itu dimansuhkan. (Pelik memikirkan, mengapa Pakatan seakan-akan memandang sepi gangguan berterusan -- dan sistematik -- terhadap pengedaran lidah rasmi masing-masing).

Serentak dengan itu, rangkaian pengedaran harus diperluaskan dengan pelbagai inovasi baru. Pada hemat saya, selama ini, jaringan itu terbina dengan sendiri atau semulajadi, dengan segala kelemahan dan kekurangan. Pimpinan Pakatan seolah-olah tidak memberi perhatian serius untuk meningkatkan jumlah cetakan (rekod semasa masih terlalu jauh daripada target), termasuk memastikan Harakah dan SK, mengetuk setiap pintu rumah pengundi, khususnya di kawasan tumpuan.

"PAS dan KeADILan harus merancang untuk terbit akhbar harian, sekurang-kurangnya kombinasi di antara kekerapan Harakah dan SK," kata seorang bekas editor kanan, yang percaya masih banyak potensi dalam dunia media yang belum diteroka oleh Pakatan.
"Mungkin Harakah tiga kali seminggu dan SK juga begitu, berselang-seli. Bagi Harakah yang ada permit, boleh difikirkan judul lain, seperti Bangkit dan Inikalilah yang diterbitkan masa kempen PRU13 yang lalu," ujarnya.

"Jangan tunggu PRU14 baru nak aktifkan penerbitan, waktu itu sudah crowded, pengundi pun mungkin pening dengan begitu banyak asakan media, ditambah surat layang atau risalah tidak bertanggungjawab. Lebih penting, usaha mempengaruhi pengundi Melayu memakan masa dan perlu dilakukan secara berterusan dan halus seninya," tambah rakan saya itu, yang kini bersara dari alam kewartawanan.

Seorang pembaca Harakah, berkelulusan jurnalisme, memberi komentar melalui emel: "Kualiti akhbar lebih penting. Laporan Harakah dan Suara Keadilan perlu lebih bermutu, tidak mengulangi kesilapan sama, dan harus ditadbir seperti industri akhbar yang profesional. Karyawannya tidak boleh tangkap muat, mesti hebat dan dihormati, dan pastinya perlu diganjari setanding akhbar-akhbar utama. Brain dan skill terbaik tidak datang menggolek."

Beliau turut menyokong penuh cadangan yang pernah saya luahkan, agar sistem penajaan percuma kepada audien terpilih dilaksanakan. "Saya yakin ramai penyumbang bermurah hati untuk beramal secara lebih praktikal, menaja terus naskhah Harakah kepada sasaran yang dipilih mereka."

Pengalaman saya membuktikannya. Kutipan dana yang dipelopori Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) amat memberangsangkan. Saya terfikir, jika inisiatif mengumpul kewangan untuk penerbitan akhbar seumpama Bangkit dan Inikalilah ini dimulakan daripada sekarang, dan disokong oleh pimpinan tertinggi Pakatan, tentu sambutannya lebih menakjubkan.

Apa pun, bukan hanya penerbitan akhbar parti perlu disusun semula, tetapi dimensi lain yang juga begitu penting, misalnya TV internet dan potensi klip video, belum diteroka sepenuhnya. Aspek kandungan media baru juga seperti terabai walaupun penguasaan teknologi begitu baik sekali.

Setakat ini, saya lebih suka menyalahkan diri sendiri jika peluang untuk menyaingi media UMno-BN tidak diberi perhatian serius. Kita seolah-olah membiarkan sekelompok pengundi yang cukup penting dan kritikal -- kini, pengundi Melayu dan Bumiputera Sabah/ Sarawak -- terus diperbodohkan. Ironinya, kita terus menyalahkan orang lain, tanpa menampilkan gerakerja luarbiasa untuk memetik hasil yang lebih manis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan