Cari Blog Ini

Khamis, 26 September 2013

Kalau benar PM Najib mahu kritikan membina dan proaktif, dengar ini.

oleh Aspan Alias

Memperkasakan Ekonomi Bumiputra (MEP) menjadi sebutan ramai dikalangan rakyat termasuk oleh rakyat Bukan Bumiputra di mana-mana dan di setiap tempat di mana mereka boleh bercakap. Bagi Bumiputra mereka berbincang isu ini kerana pengumuman tentang MEP ini oleh PM Najib baru-baru ini melibatkan mereka. Perbincangan di kalangan bukan bumiputra pula kerana isu ini berkaitan dengan bumiputra dan kelemahan mereka tidak habis-habis diperkatakan oleh kerajaan.

Kedua-dua pihak, Bumiputra dan Bukan Bumiputra, nampaknya sama-sama bersetuju yang perancangan Najib dalam isu ini membosankan rakyat termasuk Bumiputra itu sendiri. Orang melayu dan Bumiputra merupakan 60 peratus dari kependudukan negara ini, dan mereka bukan tidak suka perancangan yang khusus untuk mereka, tetapi beratus-ratus rancangan yang diumumkan oleh kerajaan itu tidak membawa apa-apa makna kepada mereka. Bumiputra tetap ditakuk lama dan tidak berganjak kemana-mana.

Najib memberitahu rakyat yang perancangan ini boleh di kritik dengan kritikan membina. Jika terdapat kesalahan di mana letaknya kesalahannya. Jika terdapat kekurangan di mana pula hendak di tokok dan di tambah asalkan segala kritikan itu adalah kritikan membina. Kita berharap PM Najib jujur dengan kata-katanya itu dan jika blog ini memberikan kritikan dan pandangan di harap tidak di salah tafsir sebagai seorang yang membangkang semata-mata untuk membangkang.

MEB itu merupakan satu perancangan ‘copy cat’ dari DEB yang telah di abaikan semasa pentadbiran Dr Mahathir dahulu. Mengumumkan perancangan seperti yang telah pernah kita dengar pada pertengahan 1970 dahulu merupakan idea seratus peratus ciplak dan tidak menunjukkan kelainan mengikut masa dan waktunya. Tanggungjawab, DEB dahulu mahu pun MEB sekarang, ini terbeban kepada kerajaan pusat dan jika gagal dilaksanakan ia tidak akan dapat diatasi oleh kerajaan pusat.

Dalam pada pimpinan pusat malas untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu ‘social dan economic engineering’ yang sangat rumit itu, tanggungjawab itu perlu di pikul oleh kerajaan negeri tanpa mengira parti dan bangsa apa yang mentadbirnya. Kita mesti berbalik kepada latar belakang negara kita yang merupakan sebuah negara Persekutuan. Negeri-negeri mempunyai kerajaan dan legilatifnya sendiri.

Kenapa segala-galanya datang dan terbit dari Putrajaya dan turun kebawah? Benar-benarkah Putrajaya yang kerajaan persekutuan itu faham keadaan sebenar di negeri-negeri dalam Persekutuan itu? Elok kali ini atau yang akan datang segala keperluan dan perancangan serta kehendak negeri masing-masing di ‘incorporate’ kan kedalam perancangan yang di umumkan oleh PM Najib itu?

Negeri-negeri diperlukan menghantar perancangan mengikut acuan dan kehendak negeri masing-masing dalam membina kedudukan Bumiputra itu. Kita mesti menghargai hakikat yang masing-masing negeri mempunyai ‘idiosyncrasies’ masing-masing dan isu ini tidak akan diketahui oleh Idris Jala yang terlalu jauh dari memahami keadaan sebenar di bawah-bawah ini.

Dalam kes ini Idris Jala tidak diperlukan samasekali dan berikan tanggungjawab untuk memikul bagi menyusun serta mengkoordinasikan perancangan itu kepada Ketua Pengarah ICU (Implementation Coordination Unit) Jabatan Perdana Menteri sahaja. Idris Jala boleh bersara dan melakukan kerja-kerja dan tanggungjawab yang lebih memberi makna kepada negara dan dirinya sendiri.

Jabatan Koordinasi dan Pelaksana, Jabatan Perdana Menteri (ICU) itu sudah wujud sejak hampir empat puluh tahun dahulu yang kini tidak menjadi Jabatan penting lagi kerana sistem memandai-mandai kini lebih menguasai pentadbiran kita kini. Jika ini dapat dilaksanakan maka tidak akan ada masalah satu-satu Kementerian Persekutuan melaksanakan dasar kementerian tersebut tanpa merujuk dan melakukan koordinasi dengan kerajaan negari-negeri.

Itu masalah di Sabah pada hari ini. Kementerian Kemajuan dan Pembangunan Luar Bandar pimpinan Shafie Apdal tidak menghormati semangat dan perjanjian Persekutuan itu dengan melaksanakan tugas beliau tanpa melalui kerajaan negeri Sabah. Ini amat menyulitkan kerajaan negeri kerana kerja pembangunan tidak selari dengan perancangan negeri Sabah itu. Ini hanya satu contoh dan ini berlaku di banyak negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu sendiri.

Perancangan untuk membina asas kekuatan ekonomi Bumiputra perlu di berikan kepada kerajaan negeri yang dikoordinasi oleh ICU di Jabatan Perdana Menteri. Jika negeri-negeri diberikan kuasa yang lebih, maka lebih mudah untuk melaksanakan segala projek yang bersangkutan dengan perancangan istimewa untuk Bumiputra kerana mereka lebih dekat dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Dengan melibatkan pimpinan dan kerajaan negeri serta kerajaan tempatan maka segala keputusan kerajaan akan dirasakan sebagai keputusan bersama oleh rakyat dalam menentukan kejayaan semua projek yang bersifat ‘social and economic engineering’ ini.

Jika ada pula perancangan dari Peringkat Persekutuan, segala penerangan secara meluas perlu dilakukan oleh kerajaan melalui Jabatan Penerangan Daerah dan diadakan semula kursus-kursus sivik seperti lazim diadakan dahulu. Alasan yang kita sekarang ini semua orang mempunyai ‘access’ kepada berita melalui media baru itu tidak benar akan memberi kebaikan kerana masih terlalu ramai rakyat yang belum ada lagi ‘access’ kepada media baru melalui internet itu.

Jika di hidupkan kembali penerangan secara ‘direct’ dengan rakyat ramai yang ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) itu maka lebih mudah bagi mengetahui apa yang tidak kita ketahui berlaku melalui dialog dengan mereka semasa penerangan sivik itu.

Semuanya ini telah dilupakan oleh kerajaan sekarang dan itulah sebabnya rakyat merasa tersisih dari semua keputusan kerajaan. Bermula dari zaman Mahathir segala-galanya dilakukan dari atas kebawah dan tidak sebaliknya.

Apabila kerajaan UMNO dan BN ini dirasakan jauh oleh rakyat maka tidak lah adil jika di salahkan rakyat tidak bersama kerajaan sekarang ini. Sekarang ini rakyat biasa jika bertanya kepada Ketua Kampung serta AJK Kemajuan dan Keselamatan Kampung tentang dasar kerajaan, hampir kesemua mereka tidak akan dapat menjawab persoalan ramai ini.

JKKK sekarang tidak seperti dahulu, diberikan latihan dan pengetahuan tentang kesemua perancangan kerajaan akan bakal dilaksanakan. Saya masih ingat lagi dizaman tujuh puluhan dan awal lapan puluhan Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di hantar ke Bilik Gerakan Kerajaan di negeri-negeri masing-masing. Mereka dipanggil untuk mendengar ‘briefings’ dengan ‘detail’ oleh pihak pelaksana bagi membekalkan mereka dengan kefahaman tentang dasar-dasar yang akan dan telah dilaksanakan.

Dalam taklimat-taklimat tersebut Ketua-Ketua Kampung boleh bertanya segala apa kemusykilan unutk menghadapi persoalan dari orang ramai. Kita mesti mengakui bahawa struktur pentadbiran kerajaan yang paling rendah ialah JKKK dan dibawah JKKK inilah jumlah rakyat yang terbesar ditadbir.

Idris Jala bukannya tahu hal ini. Gagal peranan JKKK, tidak ada apa yang akan berjaya untuk memberikan kefahaman kepada rakyat jelata yang rata-rata ‘confused’ dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Dalam taklimat itu elok disertakan Idris Jala itu sendiri kerana beliau sendiri memerlukan taklimat ini sebenarnya.

Pandangan saya ini mungkin tidak begitu bernas tetapi saya ingin menjadi proaktif seperti seruan Tuan Perdana Menteri Najib semalam. Ini hanyalah merupakan cebisan kecil dari apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan jika ia masih berminat untuk menjadi kerajaan yang relevan kepada rakyat khususnya Bumiputra yang sedang dilaung-laungkan itu.

2 ulasan:

  1. pemimpin yang baik perlu menanyakan usulan rakyat

    BalasPadam
  2. Pemimpin yang baik mendengarkan suara rakyatnya, komentar juga ya ke blog saya www.goocap.com

    BalasPadam