Cari Blog Ini

Ahad, 22 September 2013

Kenapa tiba-tiba Hadi meroyan nak jumpa Najib? tanya Hishamuddin Rais


Selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Pas terbuka untuk bekerjasama dengan Umno, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang nampaknya terus mendapat perhatian blogger terkenal, tukartiub.blogspot.com. 

Pemilik blog berkenaan yang juga aktivis politik, Hishamuddin Rais dilihat seolah-olah mempersendakan kenyataan Hadi dan menganggap pemimpin itu "meroyan".

"Kenapa tiba-tiba Hadi meroyan nak jumpa Najib.

"Tahukah Hadi di mana Najib sekarang," tulisnya dalam laman mikro Twitter seperti mengajuk Pas kerana berulang kali mengutarakan perkara ini tanpa sebarang hasil.

Abdul Hadi semalam dipetik sebagai berkata, Pas sedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.

Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang," katanya.

Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas.

"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan