PANGKALAN CHEPA - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sudah cukuplah "kuasa politik lebih 50 tahun ini telah disyaitani manusia yang menganggap dirinya maha suci daripada segala kesalahan dan kelemahan" dan kini sudah tiba masanya kerajaan seumpama itu digulingkan.
Merujuk kepada pentadbiran Umno-BN, Abdul Hadi berkata, di bawah kepimpinan parti itu, penyelewengan semakin merebak, maksiat, bahkan jenayah besar dan kecil dibiarkan tanpa undang-undang yang mendidik rakyat.
"Ketika ini kita berada dalam lingkungan alam yang tetap berubah, walaupun di bawah kerajaan yang berselindung di sebalik tembok besi paling kebal dalam sejarah manusia, namun tetap akan menemui ajalnya mengikut pusingan alam dunia.
“ALLAh menjadikan kerajaan ini silih berganti untuk menguji kita, kita diajar bahawa tidak ada kerajaan yang kekal dan mutlak melainkan kerajaan ALLAH s.w.t," katanya.
Oleh itu katanya, Pas sebagai salah satu komponen Pakatan Rakyat akan mengembleng usaha bersama gagasan pembangkang itu bagi memastikan agenda mentabir Putrajaya akan tercapai pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.
Abdul Hadi kemudiannya menggariskan empat resolusi untuk memantapkan jentera parti itu menjelang PRU13 bagi menghadapi musuh tradisi mereka, Umno-Barisan Nasional.
"Tindakan Pertama: Petugas Pas perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita.
"Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno-BN.
Teguhlah dengan jamaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran ini," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar Presiden.
Muktamar kali ini bertemakan 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, di sini, hari ini.
"Tindakan Kedua: Petugas Pas hendaklah banyak membuat persediaan menjaga benteng masing-masing (Parlimen atau DUN) menghadapi musuh yang amat licik," kata Abdul Hadi.
Ujarnya lagi, petugas Pas juga hendaklah bersedia "menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih menyokong Umno."
Jelasnya, sikap orang muda pada hari ini amatlah berbeza dengan generasi terdahulu.
"Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong Pas tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan Pas memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi Facebook, blog, SMS dan lain-lain," katanya.
Sementara tindakan keempat pula ialah memastikan Pas memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan Pas dengan keutamaan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2008 (24 kerusi).
"... kerusi Parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi Pas di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama," tambah Abdul Hadi lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan