Cari Blog Ini

Selasa, 27 November 2012

Lapangan Terbang Bayan Lepas: Bumbung pun belum pasang


27 November 2012
GEORGE TOWN, 27 NOVEMBER: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kecewa dengan pengakuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kononnya projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas sudah hampir siap sepenuhnya sedangkan banyak lagi yang belum selesai.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini berkata, kerajaan negeri terkejut dengan pengakuan sedemikian sedangkan bumbung belum dipasang menyeebabkan kebocoran berlaku setiap kali hujan, tandasnya kotor dan keseluruhan tapak masih kelihatan seperti tapak pembinaan.
“Hanya yang tidak melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga serta tidak berfikir sahaja yang akan bersetuju dengan penipuan MAHB bahawa projek menaiktaraf bernilai RM250 juta itu sudah hampir siap,” katanya.
Sehubungan itu, Guan Eng meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya atau datang ke Pulau Pinang untuk melihat sendiri keadaan projek naiktaraf terbabit memandangkan ia gagal disiapkan dalam jangkamasa yang ditetapkan walaupun sudah diberi dua peluang melanjutkan tempoh.
Menurut Guan Eng, tempoh terakhir yang diberi kepada MAHB untuk menyiapkan projek naiktaraf itu ialah pada 24 November lalu.
“Bolehkah Kong nyatakan bilakah tarikh baru untuk menyiapkan projek berkenaan dan apakah pula penalti yang dikenakan ke atas kontraktor di atas kegagalan menyiapkan projek itu (dalam masa yang ditetapkan),” ujar beliau, yang juga Setiausaha Agung DAP.
Beliau berkata, sekiranya projek yang tidak siap sepenuhnya itu boleh diterima sebagai siap secara sambil lewa sahaja selepas membelanjankan RM250 juta, ia jelas menunjukkan bahawa wujudnya salah urus dana serta pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Dalam pada itu, Guan Eng meminta Menteri Pengangkutan itu supaya tidak semata-mata memberi fokus kepada projek Automated Enforcement System (AES) dan tender nombor pendaftaran kereta; tetapi mengambil tahu mengenai projek kementeriannya di Pulau Pinang, termasuk projek Tanjung City Marina bernilai RM43 juta serta projek Swettenham Pier bernilai RM65 juta. Kedua-dua projek itu juga dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.
Projek Tanjung City Marina siap pada 2007 dengan kos RM43 juta. Namun menurut Guan Eng, keadaannya amat menyedihkan. Marina itu yang mampu memuatkan 140 kapal layar dan kapal laut dengan 102 tempat berlabuh, tetapi buat masa ini tidak mempunyai sebarang jenis kapal.
Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menafikan sebarang tanggungjawab ke atas projek gagal itu yang direka dan dibina Penang Port Commission (PPC).
“Jelas bahawa Pengerusi PPC sekarang, Datuk Seri Chua Soi Lek gagal dalam tugasnya bukan hanya untuk memperbaiki malah menyelenggara kemudahan di bawah PPC,” jelas Guang Eng lagi, sambil menambah bahawa Kong mesti masuk campur dan mencari penyelesaian jika tidak mahu projek itu menjadi peringatan kepada budaya salah tadbir PPC di bawah kawalan Barisan Nasional.
Menurut beliau lagi, ketiga-tiga projek Kementerian Pengangkutan yang berjumlah RM358 juta itu adalah pembaziran wang negara dan pengkhianatan besar terhadap amanah rakyat jika Kong tidak mengambil tindakan sepatutnya untuk menyelamatkan projek berkenaam. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan