Buat pertama kalinya, Jelajah Merdeka Rakyat akan membawakan siaran secara langsung dari Sabah negeri di bawah bayu dalam siri penjelajahan paling panjang setakat ini.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang sudah tiba di negeri ini sejak semalam dijangka akan bersama rakyat dalam parlimen Penampang bertempat di Kampung Kituau, Limbanak malam ini.
Selain Anwar, turut bakal menghangatkan pentas ceramah ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, ahli parlimen Beaufort, Lajim Ukin, ahli parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing, pengerusi majlis pimpinan KEADILAN negeri, Ahmad Thamrin Jaini dan bekas bendahari Umno negeri, Ibrahim Menudin.
Sebelah pagi dan tengah hari tadi, kehadiran Anwar yang berada di parlimen Kudat terus mendapat sambutan hangat dari masyarakat setempat yang hadir dianggarkan kira-kira 6,000 orang bertempat di perkarangan pejabat KEADILAN parlimen itu bersama pimpinan Pakatan Rakyat negeri.
Manakala sebelah petangnya, Anwar berada di pejabat KEADILAN di parlimen Sepanggar yang terletak di sebuah pusat membeli belah terkenal di daerah itu.
Lewat petang, ahli parlimen Permatang Pauh ini diraikan dalam satu majlis minum petang yang diadakan di sebuah rumah milik Jaafar Ismail yang terletak di Kampung Malawaring, Bongawan dalam parlimen Kimanis.
Saksikan selanjutnya bukti sambutan rakyat Sabah terhadap Pakatan Rakyat yang terus menggoncangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) yang menghina penduduk dengan slogan 'simpanan tetap' mereka lebih 49 tahun mencapai kemerdekaan bersama Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan