Cari Blog Ini

Ahad, 23 September 2012

PANAS! Rais Yatim Mula Terasa Bahang Kekalahan?




Barisan Nasional (BN) Jelebu dikhabarkan bergelut mengatur strategi bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13. 

Ahli parlimennya, Rais Yatim berkata, antara pendekatan yang diguna pakai ialah seorang ahli Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu menjaga 10 pengundi. 

Pendekatan itu diambil bagi memudahkan ahli PDM memantau dan mendapatkan maklum balas rakyat di parlimen itu menjelang PRU13. 

“Tentangan dari luar Jelebu seperti di Tampin dan Kuala Pilah sangat hebat. Oleh demikian, diharapkan orang di Jelebu dapat membantu untuk sama-sama menghadapi perkara ini. 

“Setiap ketua PDM juga perlu mengambil perhatian terhadap isu di kampung masing-masing dan cuba selesaikan segala masalah yang dihadapi penduduk. 

“Bukan sahaja di luar Jelebu, malah di Jelebu juga sudah ada pihak pembangkang datang memberi ceramah hinggalah ke Kampung Orang Asli Tohor. 

“Kalau kita salah cara, kita akan kalah dalam beberapa peti undi semasa PRU13 nanti. Mereka yang menjadi musuh kita adalah mereka yang tidak mengiktiraf apa yang kita buat di kawasan ini,” katanya. 

Rais berkata demikian semasa melancarkan Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pertang dan Chennah, Parlimen Jelebu 2012 di perkarangan Dewan Budaya Simpang Pertang, di sini, semalam. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang, Razak Mansor; Adun Chennah, Siow Chen Pin; Adun Klawang, Yunus 
Rahmat dan Adun Lui, Zainal Abidin Ahmad. 

Sementara itu, Rais berkata setiap PDM akan dibekalkan sebuah komputer bagi kemudahan mereka. 


Bagaimanapun menurutnya, kemudahan itu tidak boleh dibawa pulang ke rumah. 

Selain itu, turut dibekalkan dua buku berkenaan isu negara dan undang-undang pilihanraya sebagai rujukan. 

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, sebanyak 95 peratus janji kepada rakyat telah ditunaikan termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

Rais sebelum itu turut mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua PDM bagi Dun Chennah dan Pertang di Bilik Gerakan BN di Dewan Budaya Simpang Pertang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan