Cari Blog Ini

Rabu, 19 September 2012

Ibrahim Ali dah jadi penyiasat pula..



Presiden kumpulan pro-Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini mendakwa Amerika Syarikat membiayai penerbitan filem 'Innocence of Muslim' melalui penyaluran dana kepada NGO.

Ibrahim berkata, beliau percaya Amerika Syarikat bertindak demikian melalui Agensi Risikan Pusat (CIA) yang didakwanya menyalurkan dana kepada NGO dan seterusnya kepada penerbit filem tersebut.

"Sebelum (serangan pengganas pada 11 September 2001), operasi CIA banyak yang gagal, jadi selepas itu dia tukar strategi dengan menubuhkan NGO," katanya.

Ibrahim seterusnya mendakwa bahawa filem tersebut dibiayai kelompok Zionis, yang didakwanya menguasai AS.

"Kalau kita cakap Amerika pun tak tepat sebab Amerika itu satu negara. Bukan semua Amerika jahat.

"Dalam Amerika ini mereka dikawal minoriti Zionis yang berkuasa. Mereka inilah pembiayanya. 

"Mereka ini jahat dan macam-macam operasinya," katanya lagi ketika mengemukakan andaiannya itu.

Dalam sidang media tersebut, Ibrahim turut mengkritik setiausaha negara AS, Hillary Clinton yang dilihatnya masih mempertahankan filem itu "atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi."

Laporan AFP sebelum ini memetik ulasan Clinton mengenai persepsi masyarakat dunia yang menurutnya tidak memahami mengapa AS tidak boleh menghalang video berkenaan daripada disiarkan.

Clinton juga berkata, AS "tidak menghalang rakyat individu daripada menyatakan padangan mereka, tidak kira betapa meloyakan sekalipun".

Mengulas kenyataan itu, Ibrahim berkata reaksi umat Islam yang mengadakan demonstrasi di kedutaan AS bagi membantah filem berkenaan merupakan "harga yang perlu dibayar Amerika kerana mempertahankan nilai-nilai mereka".

"Pada saya (mempertahankan kebebasan bersuara dan filem itu) tidak boleh diterima kerana jumlah umat Islam seluruh dunia adalah 1.1 bilion orang.

"Adakah nilai AS ini termasuk hina Islam dan Nabi Muhammad?" soalnya, yang menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu menyatakan bantahan secara aman ke atas filem tersebut.

"Dari segi bersuara, adakan himpunan aman yang tidak membahayakan nyawa orang lain," katanya.

~ Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan