Cari Blog Ini

Khamis, 20 September 2012

Reformasi Tidak Pernah Mati, Pakatan Rakyat Terus Mara Ke Putrajaya!


Tanggal 20 September 1998 mencatatkan detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar.
Bermula tarikh itu juga, kesedaran dan minat rakyat terhadap politik tanah air meningkat, demi mempertahankan pemimpin yang menentang korupsi dan kronisme di saat rakyat menderita akibat krisis kewangan.
Misi Anwar jelas, untuk menyelamatkan Malaysia dari kerakusan pemimpin korup Umno yang berterusan menggunakan wang rakyat secara boros, di samping hanya mengaut keuntungan dari projek mega.
Sebelum penangkapan berlaku, Anwar telah menjelajah ke serata Semenanjung diselangi solat hajat di seluruh negara.
Kemuncaknya adalah pada 20 September, hampir 100,000 rakyat Malaysia yang tidak percaya dengan fitnah serta konspirasi bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad membanjiri Masjid Negara dan Dataran Merdeka.
Akibat takut melihat kebangkitan rakyat, malam itu juga Anwar ditangkap skuad Unit Tindakan Khas (UTK) polis, di rumahnya, lalu bermula episod penahanan di Bukit Aman termasuk insiden mata lebam yang membabitkan Ketua Polis Negara ketika itu, Rahim Noor seterusnya diheret ke penjara.
Di luar penjara, ratusan ribu rakyat bangkit membantah Mahathir – pendokong reformasi, seniman, pemandu teksi, peniaga kecil, pekerja kilang turun ke jalan dengan teriakan reformasi sehingga bergema sepanjang 14 tahun kemudian.
“Jelas, perjuangan Anwar itu di landasan yang benar, sekaligus menolak sangkaan Mahathir yang kononnya semangat reformasi hanya akan bertahan enam bulan. Selepas 14 tahun, laungan itu masih berkumandang, malah makin mendapat sokongan rakyat serta anak muda,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Johari Abdul.
Menurut Johari, Anwar sememangnya seorang pemimpin berjiwa kental, walau dilempar pelbagai fitnah, perjuangan demi rakyat tetap dipertahan sehingga hari ini.
“Rakyat tahu menilai siapa benar siapa salah. Buktinya, kita dapat menawan lima buah negeri pada pilihan raya lalu. Sebab itu tidak mustahil kita akan tawan seluruh Malaysia dalam pilihan raya akan datang,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu penuh yakin.
“Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT memberkati perjuangan ini sehingga berjaya menumpaskan regim sekaligus mengembalikan hak rakyat seperti yang diperjuangkan Anwar selama ini,” kata Johari.
Enam tahun kemudian, pada 2 September 2004, Anwar dibebaskan selepas pertuduhan fitnah terhadapnya digugurkan, lantas beliau bangkit semula ke persada politik tanah air.
Tahun 2008, Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar berjaya merampas lima negeri dari Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-12.
Kelibat pemimpin berjiwa rakyat ini sentiasa menjadi ketakutan kepada pemimpin Umno, tidak cukup dengan Mahathir, kini Najib Altantuya juga sering mengatur ancaman dan provokasi terhadap Anwar.
Namun pada Julai 2008, selepas beberapa bulan Pakatan Rakyat yang diterajui memenangi lima negeri dari Barisan Nasional – Anwar dituduh lagi dengan fitnah jahat.
Skrip yang sama pada 1998 diputar kembali oleh Najib Altantuya, mengulangi apa yang pernah dilakukan Mahathir.
Perbicaraan di mahkamah menjadi jenaka di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kepincangan terbongkar satu demi satu, dan akhirnya mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan itu.
Semuanya kerana agenda reformasi yang dibawa Anwar sejak 14 tahun lalu, dengan dokongan dan doa jutaan rakyat Malaysia yang berada di belakangnya, teriakan reformasi, sejak 14 tahun lalu, sebenarnya tidak pernah mati.
Reformasi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan