Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kontrak perolehan kapal selam Scorpene, pesawat Sukhoi dan alat ketenteraan lain, tidak dikemuka untuk tujuan pengauditan.
“Ia tidak terkandung dalam laporan yang dikemuka Jabatan Ketua Audit Negara (JKAN).
“Tugas Jabatan Ketua Audit Negara bukan menyiasat penyelewengan, tetapi menegur sekiranya perolehan tidak mengikut prosedur sepatutnya.
“JKAN, pertama akan mengaudit secara rawak apa yang dilapor kepada mereka. Dalam isu pembelian Scorpene, cara membuat pembayaran tidak dikemuka dalam penelitian audit. Sepatutnya penelitian ini dibuat oleh SPRM,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak semua pihak ‘harus menerima jawapan kerajaan’ mengenai isu itu seperti dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Azan dalam pada itu mengesyaki laporan audit sengaja lewat dikemuka ke parlimen sebagai usaha untuk melindungi sesuatu.
“Saya mengesyaki, oleh kerana tahun ini tahun kedua ia tergendala untuk diserah kepada parlimen, ada antara laporan yang ‘dikeluarkan’ untuk tujuan membentangkannya kepada parlimen,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Isu pokok dalam skandal pembelian Kapal Selam Scorpene adalah integriti dan sistem Perolehan Kementerian Pertahanan.
Katanya, hingga kini kerajaan tidak telus menjawab soalan dibangkit Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat berhubung komisen dalam urusniaga tersebut.
“Rakyat hanya mengetahui isu ini selepas ia didedah NGO Suaram, melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM7 bilion dan ini satu jumlah yang sangat besar.
“Sebab itu pentadbiran Najib Altantuya harus menjawabnya dengan jujur dan telus termasuk persoalan melibatkan harga, keupayaan kapal selam dan bayaran komisen luar biasa yang dikait dengan beliau semasa menjadi Menteri Pertahanan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan