Cari Blog Ini

Jumaat, 5 Oktober 2012

Syarikat minyak negeri akan ditubuh elak hasilnya dibolot kroni Umno BN



SHAH ALAM : Pakatan Rakyat (Pakatan) komited menubuhkan syarikat minyak masing-masing di negeri pengeluar minyak dan gas supaya dapat terlibat secara langsung dan mengelakkan hasil minyak dibolot kroni Umno BN , kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga menjamin jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan, 20 peratus royalti minyak akan diberi kepada empat negeri penyumbang minyak negara iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Saya dan Pakatan Rakyat menyokong penuh usaha rakyat Kelantan menuntut royalti dan memuji semangat NGO yang gigih menggerakkan usaha itu,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.
“Berbeza dengan kerajaan sekarang, yang hanya bagi lima peratus, yang lain mereka sapu. Baru-baru ini Datuk Seri Najib umumkan lagi insentif kepada syarikat besar, tapi insentif ini dapat pada siapa? Kepada anak-anak pemimpin-pemimpin Umno, kontraknya berpuluh bilion ringgit,” katanya.
“Sebab itu jika kita ambil alih Putrajaya, kerajaan-kerajaan negeri akan menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri supaya mereka turut terlibat dan kerajaan akan menjadi sebahagian daripada projek itu,” kata Anwar menyatakan sokongan terhadap konvoi tuntutan royalti Kelantan yang diadakan pagi ini.
Beliau berucap di hadapan kira-kira 7,000 penyokong pada Ceramah Mega sempena Konvoi Royalti ke Putrajaya di Dataran Shah Alam malam tadi.
Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan Anwar Rabu lalu, Pakatan berhasrat menubuhkan syarikat minyak negeri yang dikenali sebagai PetroSabah, PetroSarawak dan Petro Terengganu supaya dapat memulangkan hasil kepada rakyat masing-masing.
Mereka juga akan menyertai pembangunan lapangan kecil yang selama ini dibolot syarikat kroni Umno BN.
Syarikat itu akan dinaungi Petronas yang menyediakan skim khas supaya mampu bersaing di peringkat anatarabangsa dalam tempoh 10 tahun.
Cadangan berkenaan sekaligus mengelakkan kerajaan Pusat membolot semua hasil minyak negeri.
Exco Kelantan, Datuk Husam Musa pula mengingatkan Perdana Menteri agar membuat keputusan berhubung pemberian royalti minyak kepada Kelantan.
“Jika royalti masih tidak diberikan, bukan sahaja Kelantan, malah Terengganu, Sabah dan Sarawak akan menuntut untuk batalkan perjanjian Akta Pembangunan dan Petroleum 1975,” tegasnya.
“Najib fikirlah secara rasional dan bijak, kalau tidak keempat-empat negeri ini akan terburai, Petronas akan terkubur,” kata Husam lagi.
Bermula semalam, sebanyak 600 kereta berkonvoi ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam, dan akan ke Putrajaya 8 pagi tadi untuk ke Istana Kehakiman bagi menuntut hak royalti minyak.
Ceramah mega itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’Kelalan, Baru Bian serta wakil NGO dari Sabah, Gerakan Nasionalis Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan