Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
SHAH ALAM – Semua pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mengisytiharkan harta masing-masing jika mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu membanteras rasuah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain pengisytiharan harta, kerajaan BN juga harus laksanakan tender terbuka, melarang ahli keluarga mereka mempunyai urusan perniagaan dengan kerajaan serta gugurkan pemimpin yang amalkan gaya hidup mewah.
“Sekali lagi, Najib telah gagal buktikan diri dalam usaha membanteras rasuah sehingga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam boleh dengan bangganya menganjurkan kenduri kahwin anaknya untuk seramai 130,000 orang. Tidak kisahlah siapa yang bayar atau berapa jumlah harga kenduri tersebut.
“Dan sehingga kini juga tiada jawapan kepada soalan yang ditanya tentang kekayaan keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud,” katanya.Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sekiranya Najib mahu meyakinkan rakyat, beliau disarankan mengikut tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang telah pun membuat pengisytiharan harta secara terbuka.
“Pada masa yang sama, pemimpin BN yang hidup mewah dengan rumah mewah, kereta dan plat nombor yang mahal harus digugurkan. Ahli-ahli keluarga juga harus dilarang terlibat sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan
“Satu elemen yang yang wajib dalam usaha membanteras rasuah adalah untuk menginstitusikan tender terbuka. Tanpa tender terbuka, projek-projek awam dirunding secara terus dan dianugerahkan kepada kroni yang menyebabkan rakyat kerugian,” katanya.Selain itu, Guan Eng turut mempertikaikan peruntukan RM386 juta untuk 57 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2013.- SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan