Cari Blog Ini

Isnin, 8 Oktober 2012

Ketua pembangkang: Muhyiddin bakal cipta sejarah


Analisa Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kini seorang yang gelisah kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia berdepan dengan mimpi ngeri akibat dua manusia, bosnya Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Apakah mimpi ngeri itu? Iaitu Muhyiddin bakal mencipta sejarah sebagai Timbalan Presiden Umno yang pertama ‘upgrade’ ke Ketua Pembangkang pada sesi parlimen 2013.

Umno kini di persimpangan yang amat meruncing. Muhyiddin tahu, bosnya Najib sudah tidak berupaya melakukan apa-apa untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional. Yang dipentingkan bosnya hanyalah untuk meningkatkan popularitinya sahaja.

“Cita-cita Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri, bukan sahaja tidak menjadi, bahkan yang lebih ngerinya beliaulah orang yang bakal menjadi Ketua Pembangkang,” kata sumber dalaman Umno.

Kini, katanya Muhyiddin telah mengorak langkah untuk menyelamatkan beliau sendiri daripada mimpi ngerinya.

Jikalau ditakdirkan beliau akan menjadi Ketua Pembangkang, lebih baik kalau beliau yang membawa Umno-BN masuk ke PRU-13 dan bukan Najib.

“Muhyiddin tak mahu jadi ketua pembangkang disebabkan kesilapan Najib yang berterusan,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata rata-rata orang Umno sudah keletihan dan berpendapat masa terbaik untuk melaksanakan PRU13 telah terlepas disebabkan Najib yang suka berdolak-dalih.

“Tapi Najib berdolak-dalih disebabkan Muhyiddin juga. Najib tahu jika keputusan PRU13 lebih teruk daripada prestasi Pak Lah, Muhyiddin akan menggunakan pemilihan Umno untuk memaksanya keluar. Jadi tak boleh salahkan Najib juga,” kata sumber itu lagi.

Beliau menambah, akibatnya kini dua-dua Najib dan Muhyiddin mungkin tidak berpeluang lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Kini, kata beliau, team Muhyiddin sedang mengorak langkah untuk memaksa Najib memanggil PRU13 dalam waktu terdekat.

“Panggil di waktu terdekat, BN masih berpeluang untuk menang tipis, di mana BN masih kekal memegang jawatan Perdana Menteri dan Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri setelah menewaskan Najib di pemilihan Umno dengan menggunakan prestasi buruk PRU13 sebagai alasan,” kata sumber tersebut.

Jika Najib tetap enggan memanggil PRU13, apa pula yang Muhyiddin akan buat?

“Muhyiddin akan usul undi tidak percaya pada Najib di perhimpunan agong Umno akan datang. Seperti yang saya kata tadi, jikalau takdir nak jadi ketua pembangkang, Muhyiddin rela diri yang mengetuai peperangan dan tewas daripada kalah sebab bosnya,” tambah beliau.

Semua dalam Umno, kata sumber itu, kini merasai bahawa peluang Pakatan Rakyat menang itu sudah ada.

“Dulu mereka tak pernah rasa itu satu kemungkinan, sekarang mereka bimbang itu satu realiti,” kata sumber itu lagi.

Langkah Utusan Malaysia menonjolkan barisan kabinet bayangan, kata sumber itu, adalah langkah terbodoh bagi Umno-BN sebab mereka mengesahkan kepada rakyat dan penyokong mereka kemungkinan PR menang itu sudah ada.

“You should never let the elephant out (Anda tidak sepatutnya menyatakan apa yang tersirat),” sindirnya, sambil menambah "orang yang bakal lemas dan panik akan melakukan perkara yang menyebabkan kematian daripada menyelamatkan diri."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan