Cari Blog Ini

Rabu, 3 Oktober 2012

Mengapa takut Buku Jingga


Oleh Abd Shukur Harun

Umno/BN semakin meningkatkan kempen kotornya yang memburuk-burukkan parti lawan seperti yang disiarkan oleh akhbar yang dimiliki oleh atau dikaitkan dengan BN, menyebabkan semakin ramai pengundi merasa jijik.

Ini kata-kata Pengarah Pusat Inisiatif Dasar (CPI), Dr Lim Teck Ghee dalam kenyataannya kepada Malaysian Insider kelmarin.

Menurutnya, pengundi kini berfikiran matang dan terkini, di mana mereka tahu ini hanyalah kempen politik kotor.

Pandangan ini dikongsi ramai oleh rakyat Malaysa yang sudah tidak mahu menelan propaganda karut marut dari pemimpin Umno/BN ini terutama selepas pengumuman Bajet 2013 di Parlimen baru-baru ini.

Selepas pembentangan Bajet itu, baik Datuk Najib Tun Razak mahupun para menterinya tidak ada di parlimen untuk bersoal jawab dengan ahli-ahli parlimen, terutama dengan pembangkang.

“Datuk Najib diajak berdebat di luar tak mahu, berhujah di Parlimenpun tak mahu. Menteri-menteri dan timbalannya tak hadir untuk menjawab soalan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa yang sama, pemimpin Umno/BN tidak henti-hentinya melancarkan kempen memburuk-burukkan Belanjawan Pakatan Rakyat yang diumumkan beberapa hari selepas pembentangan Bajet BN.

Malah mereka mengkritik habis-habisan Buku Jingga yang mengandungi pelbagai saranan Pakatan Rakyat jika berjaya dalam PRU akan datang.

Ramai bertanya mengapa mereka enggan membahaskan secara rasional dan terbuka mengenai saranan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu.

Apa yang ditakutkan dengan buku tersebut, sepatutnya bahaskan dari segi idea dan rasionalnya dan bandingkan dengan Bejet 2013 yang dibentang oleh Datuk Najib Tun Razak.

Di sinilah pada pendapat saya, rakyat prihatin yang menjadi pengundi memandang sangat jijik kempen kotor serupa ini di mana, kata mereka, sepatutnya kempen politik berdasarkan idea, saranan atau gagasan untuk dilihat kemasabahannya kepada rakyat.

Dengan itu rakyat boleh menilai apakah tawaran Umno/BN baik, atau tawaran Pakatan Rakyat lebih baik. Ini dengan sendirinya rakyat diberi hak menentukan pilihan mereka secara demokratik.

Sejauh ini Pakatan Rakyat perlahan-lahan telah memenangi sokongan pengundi atas pagar dengan menangani kebimbangan rakyat melalui beberapa dasar pembaharuan seperti menurunkan harga kereta, menyediakan perumahan yang mampu dimiliki dan pendidikan percuma.

Ini mungkin menyebabkan peningkatan populariti Pakatan Rakyat dan penurunan ketara populariti Najib, seperti yang ditunjukkan oleh hasil kaji selidik baru-baru ini yang diterbitkan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Di negara maju, termasuk kini di Indonesia dan Singapura, kempen sihat begitu menyerlah, di mana parti-parti politik mengenengahkan gagasan dan idea mereka jika memenangi pilihan raya.

Tidak kedengaran dan tidak terbaca di media di mana kempen memburuk-burukkan peribadi parti lawan dan ini suatu kematangan politik dan betapa dewasanya parti-parti politik di negara tersebut.

Oleh itu kita sepatutnya merasa malu dengan wajah dunia politik negara ini yang sedemikian buruk berbanding dengan negara yang disebutkan tadi.

Pemimpin Umno/BN begitu mengharapkan bahawa dengan pengumuman Bajet 2013 ini akan dapat meraih undi untuknya, iaitu dengan pengumuman pelbagai pemberian wang, kenaikan imbuhan, pencen dan pelbagai lagi.

Ertinya pemimpin Umno berfikir bahawa begitu mudah sekali untuk mereka menawan hati rakyat dengan memberi mereka wang dan pelbagai bentuk imbuhan.

Rakyat tidak digalakkan berfikir mengenai hutang negara dan bagaimana hendak membayarnya nanti. Rakyat juga tidak digalakkan berfikir bagaimana  keadaan ekonomi serantau dan dunia dan implikasinya kepada negara ini, bagaimana hendak membenteras rasuah dan keteresan serta pengelewengan yang begitu subur dan bagaimana keadaan masa depan negara dalam pelbagai aspek. 

Dengan bentuk Bajet 2013 sedemikian rupa rakyat hanya disuruh menerima, ‘inilah yang terbaik’ tanpa digalakkan berfikir jauh lebih-lebih lagi mengenai imlikasinya dalam jangka panjang.

Dalam masa yang sama isu-isu perkauman berkembang subur dan menakutkan, sementara seruan perpaduan dan toleransi hanya menjadi rhetorika politik.

Menyaksikan perkembangan yang berlaku ini, ramai rakyat prihatin bimbang bahawa mereka tidak dapat membayangkan keadaan dunia politik apabila semakin hampir dengan PRU Ke-13 nanti.

Keadaan demokrasi semakin merosot, tuntutan lapan perkara oleh NGO Bersih 2.0 dan 3.0 mengenai pilihan raya bebas dan adil masih kabur, daftar pemilih masih kotor. Semuanya ini menambah mudurnya demokrasi di Malaysia.

Bagaimanapun rakyat prihatin sedar akan hal ini dan akan menentukan keputusan mereka dalam PRU akan datang.

Sementara itu, bagi Pakatan Rakyat yang kini menjadi pembangkang di Parlimen, sewajarnya memperkukuh perpaduan mereka untuk menghadapi cabaran berat ini.
Pendukung Pakatan Rakyat semua peringat mesti turun padang dan sentiasa berada di tengah khalayak.

Jangan ada pemikiran di antara pemimpin Pakatan Rakyat semua peringkat mengenai impian akan pelbagai jawatan tinggi jika dapat menguasai Puterajaya nanti.

Cakap-cakap mengenai hal ini hanya akan mengeruhkan suasana, menimbulkan rasa syak wasangka di mana sama sekali tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Siapa pemegang pelbagai jawatan tinggi jika dapat menguasai Puterajaya terserah kepada permuafakatan antara pemimpin tertinggi komponan Pakatan Rakyat dan masanya jauh lagi. Yang penting semua pendukung Pakatan Rakyat bekerja keras untuk menang, bukan berkhayal.

Adakah jentera pilihan raya PKR, DAP dan PAS sudah bersiap sedia disemua peringkat? Bagaimana menangani masalah beribu-ribu nama pengundi yang meragukan, kempen peneranggan ke kawasan luar bandar yang khabarnya kawasan itu masih dikuasai oleh Umno/BN.

Juga sudahkah Buku Jingga disebarluaskan di luar bandar dan juga di dalam bandar. Sudahkah ia diperincikan sehingga rakyat benar-benar memahami dan menerimanya?

Inilah persoalan berat yang akan dihadapi menjelang PRU akan datang, sebuah pilihan raya yang dijangka amat sengit yang akan menentukan nasib Umno/BN bahkan Pakatan Rakyat di mana ia adalah ibu segala pilihan raya.
----------------------------------------------------------  
Penulis boleh dihubungi melalui shukurharun@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan