Cari Blog Ini
Isnin, 15 Oktober 2012
Pas dakwa pengaruh Dr M makin rapuh
SHAH ALAM - Pas melihat Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh untuk ‘menimbulkan kecelaruan’ pemikiran di kalangan pengundi tetap Umno, yang akhirnya akan memanfaatkan pakatan pembangkang. Pada masa yang sama, Pas mendakwa pengaruh bekas Perdana Menteri itu semakin rapuh dalam menarik sokongan masyarakat umum khususnya pengundi ‘atas pagar’ susulan tuntutan landskap politik baru yang semakin dirasai menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Untuk menarik pengundi Pakatan Rakyat, orang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti ini kepada Umno itu satu perkara yang sukar untuk dilakukan kerana orang sudah mempunyai pendirian untuk membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Poko Sena dapat merasakan kebimbangan pemimpin-pemimpin Umno sekiranya Dr Mahathir ‘celupar mulut’ mengkritik parti secara terbuka sehingga boleh menjejaskan kredibiliti parti yang telah memerintah negara lebih 50 tahun.
“Mungkin selepas Bajet 2013, baru okey balik... mungkin beliau sedar bahawa beberapa perkara yang beliau kritik itu menjejaskan kekuatan BN kerana ia boleh menganjakkan pengundi tetap Umno ini kepada Pakatan Rakyat,” jelasnya.
Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir mempunyai hasrat meletakkan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir supaya mewarisi kepimpinannya sebagai bakal perdana menteri.
“Banyak pihak dalam Umno yang tidak senang dengan percaturan politik untuk mengatur kedudukan anaknya, hatta apabila disebut anaknya untuk balik bertanding sebagai calon Menteri Besar, ia akan berlaku pergolakan dalaman Umno,” katanya sambil menyifatkan hasrat Dr Mahathir itu mungkin gagal.
Bagaimanapun beliau mengakui sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akur kepada beberapa tuntutan dan kehendak Dr Mahathir, nasibnya mungkin berakhir sepertimana yang menimpa Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan