Cari Blog Ini

Khamis, 11 Oktober 2012

[VIDEO] Pemuda Pas Mahu UTHM Siasat Klip Video Gesa Sokong BN


Johor Bahru - Dewan Pemuda Pas Johor mendesak pengurusan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuat satu siasatan berhubung tersebarnya rakaman sebuah video di YouTube yang didakwa ada kaitannya dengan kakitangan pengurusan universiti berkenaan.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat berkata, desakan dibuat pihaknya kerana dalam rakaman berdurasi tiga minit 47 saat tersebut menunjukkan kakitangan berkenaan yang didakwa melakukan salah guna kuasa dalam mempengaruhi audiennya untuk menyokong kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) Beliau berkata, Peraturan 21 dalam Perintah Am Kerajaan Bab ‘D’ secara jelas menyebut bahawa kakitangan kerajaan dari Pegawai Kumpulan Pengurusan Tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik.

“Video yang dimuat turun sejak dua minggu lalu kini sudah disaksikan kira-kira 66,000 orang,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Suhaizan berkata, satu memorandum juga akan diserahkan kepada Naib Canselor UTHM pada hari ini berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, pejabat pengurusan universiti ketika dihubungi mengakui sedia maklum berhubung video terbabit yang dimuat turun dalam YouTube sejak dua minggu lalu. -SH

Pemuda PAS Johor serah memo ke UTHM




BATU PAHAT: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) semalam menghantar satu memorandum kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ekoran seorang pegawai kanan kampus itu didakwa menyuruh pelajar menyokong BN.

Delegasi seramai 50 orang yang diketuai oleh saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia dan saudara Suhaizan Kayat selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Pendaftar UTHM, Naim Maslan.

Dalam memorandum itu, mereka mendakwa Penolong Naib Canselor UTHM Prof Ir Dr Amir Hashim Mohd Kassim cuba mempengaruhi dan mengugut mahasiswa supaya menyokong BN dalam satu program pada 19 September lalu.

Program tersebut yang dinamakan Program Amanat Penolong Naib Canselor Bersama Jawatankuasa Kolej Kediaman Sesi 2012/2013 telah diadakan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar kampus itu.

Rakaman ucapannya turut dimuat naik ke Youtube.

Petikan rakaman ucapan itu antara lain didakwa mereka berbunyi:

"Bila sebut penjawat awam ni, kami ini apa? Kerja dengan siapa?, kerajaan… Kerajaan kita siapa? Barisan Nasional lah.

Nak ke tidak kita menyokong kerajaan? Jadi saudara ni dilantik sebagai apa… jawatankuasa kolej kediaman sepatutnya menyokong kami, siapa tidak menyokong, saya boleh persilakan keluar dari bilik ini".

Menurut Suhaizan, tindakan Amir Hashim itu telah bercanggah dengan Peraturan 21 dalam Perintah Am Kerajaan.

Pada Bab D peraturan itu, secara jelas menyebut bahawa kakitangan kerajaan dari Pegawai Kumpulan Pengurusan tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik.

Ianya juga termasuk tidak boleh membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik, mengedarkan atau menerbitkan bahan bercetak mengenai politik dan merayu undi.

"Dalam rakaman tersebut, pegawai terbabit secara jelas menggunakan kedudukannya sebagai pegawai kanan universiti untuk memberikan tekanan kepada pelajar di dalam majlis tersebut agar memberikan sokongan kepada parti Barisan Nasional.

"Ianya telah benar-benar memberi imej yang sangat tidak baik kepada UTHM khasnya dan sektor awam negara amnya," katanya.

Sehubungan itu, DPPNJ ujarnya memberi tempoh14 hari untuk pihak pentadbiran UTHM melakukan siasatan berhubung isu tersebut.

Mereka juga mendesak pentadbiran UTHM menggantung tugas Amir Hashim sepanjang tempoh siasatan untuk mengelakkan sebarang pengaruh yang boleh menjelaskan sisatan.

- HD



Tiada ulasan:

Catat Ulasan