Cari Blog Ini

Selasa, 2 Oktober 2012

Kisah Ketua MB di Terengganu


Apakah benar-benar telah wujudnya jawatan ‘Ketua Menteri Besar’ dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sekarang ini?

Dan apakah Ketua Menteri Besar ini lebih berkuasa dari Menteri Besar yang ada sekarang ini?

Inilah persoalan besar yang kini sedang menjadi perbincangan serta ‘buah mulut’ kebanyakan penjawat awam Terengganu terutamanya di Wisma Darul Iman yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said sekarang ini.

Di kalangan pegawai-pegawai kerajaan ini, telah timbul cakap-cakap mengenai isu 'Ketua Menteri Besar' yang terdiri dari segelintir individu 'berkepentingan’ yang dikatakan lebih berkuasa dalam menentukan polisi serta perjawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Telah timbul desas desus serta rasa tidak puashati di kalangan mereka ini apabila beberapa perlantikan jawatan penting dalam kerajaan negeri telah melangkaui tangga jawatan dan menafikan hak pegawai-pegawai yang lebih berpengalaman dan lebih lama berkhidmat dalam kerajaan negeri.

Tindakan ini dilihat amat tidak wajar lebih-lebih apabila hak perjawatan mereka telah dinafikan secara rakus oleh individu-individu tertentu tanpa mengira peraturan dan arahan perbendaharaan yang menjadi garis panduan setiap penjawat awam.

Persoalannya, apakah individu-individu ini benar-benar lebih besar kuasanya daripada pemimpin kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri, Datuk Mazlan Ngah?

Apakah mereka inilah juga individu-individu yang dikatakan berkuasa di Wisma Darul Iman bagi menentukan kelulusan setiap pemberian projek kepada kontraktor untuk kepentingan mereka sendiri.

Lebih parah lagi apabila soal kelulusan tender-tender balak dan bahan galian di seluruh negeri Terenganu juga dikaitkan dengan kelompok 'Ketua Menteri Besar’ ini.

Namun realitinya, dalam konteks politik tempatan di negeri Terengganu, para pegawai dan kakitangan kerajaan amat besar pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik setiap kali pilihanraya diadakan.

Penjawat awam ini dilihat sebagai golongan yang ‘tidak berpihak’ dan ‘non-partisan’. Mereka diajar menjalankan tugas secara beramanah dan telus mengikut arahan ‘Government of the day’ atau kerajaan yang memerintah.

Lebih-lebih lagi mereka juga sentiasa diingatkan agar bersikap ‘neutral’ (berkecuali) dan ‘tidak berpihak’ apabila melaksanakan tugas mereka di semua peringkat.

Penjawat awam ini jugalah yang menjadi ‘penggerak’ serta ‘mata dan telinga’ kepada perjalanan sesebuah kerajaan.

Dalam menjalankan tugas, mereka diajar menghindari sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

Begitu juga apabila membuat sesuatu keputusan, mereka di latih agar tidak mendiskriminasi rakyat kerana semata-mata berbeza fahaman politik atau parti.

Mereka juga mesti berpegang teguh kepada dasar pentadbiran dan pembangunan kerajaan negeri yang berkonsepkan ‘merakyatkan pentadbiran’ dan ‘membela rakyat’ Terengganu.

Namun, jika berlakunya sebarang kepincangan dan salah urus dalam pentadbiran kerajaan negeri, sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

Persoalan membela rakyat Terengganu yang rata-rata miskin dan hidup ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang' amat diteliti oleh setiap penjawat awam ini.

Begitu juga hubungan mereka dengan ahli politik yang memerintah kerajaan negeri pada hari ini.

Mereka sentiasa membuat penilaian samada ahli politik yang memerintah telah menjalankan tugas secara telus dan beramanah sesuai dengan kehendak rakyat dan aspirasi negeri Terengganu sendiri?

Di negeri Terengganu, saya yakin penjawat awam sedang membuat pertimbangan dan penilaian secara teliti mengenai prestasi dan legasi kepimpinan Menteri Besar dan kerajaan Umno-BN yang memerintah sekarang ini.

Apakah mereka yang berkhidmat ini sudah berpuas hati dengan corak pentadbiran Menteri Besar dalam melaksanakan setiap polisi di negeri ’Darul Iman’ ini?

Atau apakah rasa tidak puas hati penjawat awam ini akan diterjemahkan dalam pilihanraya akan datang ini yang boleh mengakibatkan kepimpinan ’Ketua Menteri Besar’ ini akan kecundang?

Ya, inilah realiti politik dan penjawat awam di negeri ’Penyu Bertelur’ ini. Seperti yang sedang diperkatakan oleh banyak pihak; 'diam-diam mereka (Penjawat Awam) tetapi tetap berisi’...'Jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya didalamnya’.

Jawapan dan penentunya adalah 'Undi’ dalam pilihanraya umum yang akan datang ini.
-harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan