Aidila Razak
PKR hari ini menuntut penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimana seorang bekas pegawai tinggi polis dapat membeli sekurang-kurangnya empat rumah pangsa kos rendah di Miharja di pusat bandar Kuala Lumpur.
Ketua biro hak pengguna PKR, Yahya Sahri mendakwa maklumat itu diperolehinya melalui carian hartanah dengan DBKL.
Menurutnya, carian itu dibuat pada tahun 1999 sebaik sahaja
selepas pegawai bersara.
"Flat itu dimiliki oleh beliau dan isterinya.
"Orang awam yang layak terutamanya yang tinggal di bandar terpaksa menunggu giliran tetapi pegawai polis ini yang turut memiliki aset lain dapat membeli flat kos rendah ini dengan begitu mudah," katanya.
Selain empat flat di Taman Miharja, bekas pegawai tertinggi polis itu juga didakwa memiliki rumah di Desa Kira, Seputeh, Sri Rampai, Wangsa Maju dan Setapak.
Yahya yang merahsiakan nama bekas pegawai berkenaan mendakwa DBKL menganggarkan rumah di Desa Kiara memberikan pulangan sewa kira-kira RM20,400 setahun.
Sementara tiga unit rumah di Wangsa Maju, Sri Rampai dan Setapak pula masing-masing memberikan pulangan sewa sebanyak RM25,500, RM14,400 dan RM10,200.
Empat unit flat di Taman Miharja pula didakwa memberikan pulangan sewa sebanyak antara RM4,800 ke RM6,000 setahun.
Yahya menegaskan beliau tampil dengan dakwaan itu sekarang walaupun mempunyai maklumat tersebut sejak sekian lama kerana terdapat isu lain yang lebih mustahak sebelum ini.
Beliau juga mendakwa bahawa bekas pegawai polis berkenaan turut mempunyai banyak aset di luar Kuala Lumpur, antaranya di Melaka dan beliau akan mendedahkannya dalam sidang media yang akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan