Palong- Gerak kerja PKR yang sentiasa mendapat tempat di kalangan peneroka dipercayai menjadi punca bendera parti itu yang digantung di simpang masuk Felda Palong 4, 5 & 6, di sini menjadi mangsa khianat.
Naib Ketua PKR Cabang Jempol, Rebin Birham berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar bendera parti itu, Ahad lalu, bukan saja biadab, malah menunjukkan rasa terdesak segelintir pihak yang cemburu melihat parti itu semakin mendapat sokongan.
"Saya lihat perbuatan ini adalah rentetan daripada rasa tidak puas hati pihak berkenaan terhadap PKR kerana gerak kerja dan segala aktiviti kita mendapat tempat di kalangan peneroka.
“Namun, peneroka kini lebih bijak menilai dan memilih parti mana yang mereka nampak lebih baik serta mempunyai masa depan untuk membela nasib peneroka,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Keadilan.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh berkata, tindakan tersebut menunjukkan amalan 'politik samseng' sudah menular di daerah ini, walaupun negara mengamalkan demokrasi membolehkan bebas memilih parti mereka mahu.
“Masalah ini bukan saja di Palong, malah kawasan lain turut terkena tempiasnya.
“Budaya ini perlu diubah. Kita minta kerjasama polis agar mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan tidak beretika ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Sementara itu, kejadian bendera PKR dibakar, Ahad lalu, disedari Setiausaha Ranting Keadilan Felda Palong 5, Mohd Razali Salleh ketika dia dalam perjalanan ke kebun.
“Semasa saya dalam perjalanan ke kebun sekitar 7 pagi, saya dapati satu bendera besar serta dua bendera kecil PKR telah dibakar dekat simpang masuk Felda Palong 4, 5 & 6.
“Saya terus buat laporan polis pada hari sama kerana ini adalah kejadian ketiga berlaku.
kami tidak puas hati atas tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan