Cari Blog Ini

Sabtu, 15 Disember 2012

Bersihkan namamu Najib, desak AMK



PETALING JAYA: AMK hari ini  mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar membersihkan imej beliau berikutan dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
“Najib perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang penglibatan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta ahli keluarganya terlibat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan projek penswastaan Kementerian Pertahanan pada tahun 2005.
“AMK berpendapat bahawa rakyat berhak tahu perkara sebenar khasnya dalam isu membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun (SD) kedua yang menolak kaitan Najib  dengan Altantuya.
“Selain itu, dakwaan Deepak bahawa pembayaran satu sumbangan jumlah besar kepada ahli keluarga Najib  dalam satu projek penswastaan Kementerian Pertahanan yang bernilai RM100 juta juga perlu diperjelaskan agar kebenaran dapat dicari,” kata ketua penerangan AMK Lee Khai Loon dalam satu kenyataan media hari ini.
Sejak sebulan yang lalu Deepak telah mendedahkan bahawa beliau telah membantu Rosmah berurusan dengan Balasubramaniam dan Altantuya.
Lee turut menyeru Najib supaya mengambil tindakan mahkamah sekiranya dakwaan Deepak tidak berasas.
“Sekiranya Najib berasa tuduhan Deepak adalah tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat, maka perlu membersihkan nama beliau dengan mengambil tindakan mahkamah ke atas Deepak. Dengan cara ini baru boleh mengelakkan imej PM dan negara daripada terus terjejas,” kata Lee.
Beliau turut berkata bahawa Najib tidak wajar melarikan diri dari soalan umum kerana ia menjejaskan imej negara.
“Najib tidak patut lari daripada pertanyaan orang ramai khasnya dalam isu-isu yang berkenaan dengan urus tadbir, pembangunan demokrasi, pengurusan ekonomi dan penentuan dasar negara.
“Rakyat berharap PM yang bertanggungjawab boleh berdepan dengan pelbagai teguran serta cadangan daripada orang ramai dan bukannya semata-mata berlakon untuk mencari publisiti politik murahan,” kata Lee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan