Cari Blog Ini

Selasa, 11 Disember 2012

Negara perlukan politik baru yang menjaga kepentingan semua


oleh Aspan Alias


Politik sekarang amat membingungkan kita. Ini disebabkan situasinya sekarang merupakan situasi yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Oleh kerana keadaan politik kali ini terlalu jauh perbezaan maka sudah tentu ia memerlukan cara dan kaedah penyelesaian yang agak ‘unorthodox’: maksud saya ia tidak boleh di selesaikan dengan siapa kalah siapa menang semata-mata. Apa yang penting sekarang ini seperti yang pernah saya sebutkan, penyelesaiannya ialah dengan mewujudkan situasi yang baru dan mewujudkan politik yang baru.

Politik ‘yang menang ambil semua dan yang kalah hilang semua’ seperti yang kita amalkan selama ini sudah agak ketinggalan kerana ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat dan negara. Pihak yang untung hanyalah pemimpin-pemimpin yang berjaya membaiki kedudukan sosial mereka sahaja. Formula yang baru terpaksa kita wujudkan kerana kita tidak lagi menerima kegagalan untuk pencapaian matlamat yang ‘ultimate’ bagi negara, iaitu perpaduan rakyat semua kaum.

Perpaduan semua kaum ini tidak boleh kekal jika politik itu tidak berada di premis yang adil dan saksama. Pendapat saya yang amat penting sekarang ialah seorang pemimpin yang berstatus Law Maker (bukan dikalangan pemimpin dalam kerajaan sekarang) yang di hormati oleh semua pihak dan diyakini tentang kejujuran dan bersifat ‘magnanimous’ tampil kehadapan untuk memulakan politik dan kepimpinan yang baru. Pemimpin itu mestilah berupaya untuk membawa semua ke meja perundingan terutamanya pimpinan yang mewakili kaum yang terbesar di negara ini.

Keadaan ini pernah berlaku di negara ini semasa negara menghadapi krisis di antara kaum selepas trajedi 13 mei dahulu di mana Tun Razak sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negara (MAGERAN) telah berunding dengan semua pihak untuk mencari formula untuk mendapatkan penyelesaian kepada kemelut ketegangan di antara kaum semasa itu. Hasilnya wujud lah BN dengan beberapa dasar penting yang digubal untuk mencapai matlamat perpaduan kaum di negara ini.

Jika rundingan itu di adakan sekarang perbezaannya hanya satu sahaja. Kalau dahulu usaha penyatuan itu berlaku selepas kejadian berdarah, yang sekarang ia di lakukan sebelum keadaan bertambah parah yang mungkin mewujudkan kecenderungan untuk insiden itu berlaku. Sekarang ini kita nampak jelas ‘pattern’ sokongan rakyat terhadap parti-parti yang sedang bergiat di negara ini.

Jika kita pandang dari sudut sokongan berdasarkan kepada kaum, kita nampak jelas kaum Cina sedang berada di belakang DAP misalnya. Orang Melayu sekarang sedang berada di belakang PAS dan tidak kurang ramainya dibelakang PKR. UMNO pula masih berkeyakinan yang mereka juga masih mempunyai saki baki sokongan dari orang Melayu Islam.

Oleh kerana ini keadaannya sekarang amat perlu bagi kita untuk memanggil ketua-ketua parti yang saya sebutkan tadi untuk mewakili kaum-kaum tersebut untuk duduk semeja dalam rundingan yang serius untuk membentuk negara yang baru yang lebih progressif dan memandang kehadapan dengan penuh optimis.

Situasinya sekarang amat bersesuaian bagi DAP, PAS dan UMNO dengan pimpinan yang baru untuk duduk bersama-sama berserta dengan PKR yang juga merupakan sebuah parti yang mempunyai ‘consequence’ yang tidak kurang besarnya didalam politik dan siasah negara sekarang ini.

Dalam keadaan sekarang Pakatan Rakyat agak mendahului dari sokongan rakyat yang ramai. Kekuatan ini di dasarkan oleh keinginan rakyat melakukan perubahan kerana mereka (rakyat) sudah terlalu tidak berkeyakinan dengan segala apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan sekarang.

Rakyat sudah terlalu sensitif dengan kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang tidak ada batasnya pada hari ini. Malahan keinginan rakyat untuk melakukan perubahan pada hari ini telah menjadikan pemimpin-pemimpin dalam UMNO terutamanya menjadi begitu kecut perut untuk menghadapi kekalahan di dalam pilihanraya kali ini. Ramai berpendapat tidak ada sebab pimpinan hari ini takut jika kalah dalam pilihanraya kali ini kerana itu adalah kehendak demokrasi yang sebenarnya.

Mana-mana pihak yang berkuasa mesti mempunyai pemikiran dari awal-awal waktu mendapatkan mandat itu bahawa kuasa itu adalah pinjaman dari rakyat dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Banyak parti-parti kerajaan dalam dunia ini mengalamai kekalahan kerana penolakan rakyat mereka. Sekarang mungkin sudah sampai masanya giliran UMNO dan BN pula untuk menghadapi kekalahan itu, yang bukannya kejadian yang tidak biasa yang kita lihat dan tontoni sejak dari dulu lagi.

Kelompok ramai ini mempunyai pendapat yang ketakutan yang sepatutnya tidak bersebab ini wujud kerana keresahan dari ‘consequence’ kekalahan itu sendiri, iaitu terbongkarnya banyak perkara sumbang dan jenayah yang telah dilakukan oleh UMNO selama ini, dan itu memang perkara yang biasa berlaku oleh kerana berkuasa terlalu lama. Bukan sedikit di dunia hari ini bekas Presiden dan Perdana Menteri masuk penjara apabila kehilangan kuasa semata-mata kerana banyak kesalahan yang mudah di kenalpasti oleh pimpinan sebelumnya.

Bagi negara kita perkara itu juga tidak mustahil kerana itu pun isu terbesar yang dihadapi oleh pimpinan kita. Adalah mudah bagi pihak yang mengambilalih itu mengenali segala kesalahan yang dilakukan oleh barisan pimpinan UMNO dan BN itu.

Untuk penyelesaian tentang isu ini dendam-mendendam wajar di ketepikan jika kita mahu melihat kerajaan yang bersih dan telus di alami oleh rakyat setidak-tidaknya selama 50 atau enam puluh tahun yang akan datang. Pimpinan yang ada pada hari ini perlu berani menghadapi keadaan ini dengan meletakkan jawatan en bloc dan memberikan usaha melakukan rundingan yang sangat penting ini kepada seorang Law Maker Melayu yang secara relatifnya di hormati oleh Ahli Ahli Dewan Rakyat sekarang ini.

Kalau kita selidik, bukan tidak ada pemimpin yang berkualiti seperti ini di dalam Dewan Rakyat sekarang ini bagi menggalas tanggungjawab itu. Seseorang yang dipertanggungjawabkan itu mestilah tidak ada sifat dendam-mendendam terhadap barisan pimpinan yang di cadangkan untuk berhenti itu dan yang telah mengaku di atas kesilapan yang lalu.

Itu sebabnya saya amat tertarik dengan ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di ucaptama beliau di satu Majlis anjuran kelab rotary baru-baru ini supaya di adakan ‘Truth and Reconciliation Commision’ dan suruhanjaya ini di wujudkan untuk mengenalpasti semua kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan sekarang ini tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan itu, tetapi merundingkan segala penyelesaian terhadap semua kesalahan tersebut.

Misalnya jika ada rasuah wang di ambil secara besar-besaran oleh mereka yang terlibat mereka wajar mengembalikan semuanya kepada rakyat dalam jangkamasa tertentu, misalnya selama 6 bulan atau setahun untuk melakukannya. Segala-galanya diurus dan di tadbir oleh suruhanjaya ini. Jika mereka yang terlibat tidak mahu serta enggan untuk melakukannya dalam tempoh yang telah di tetapkan itu, barulah penguatkuasaan undang-undang itu dilaksanakan secara telus dan terbuka di lakukan oleh suruhanjaya ini.

Dengan memberikan tugas kepada seseorang yang berwibawa yang tinggi, maka semua pihak tidak akan menjadi mangsa dendam kecuali mereka ini degil dan tidak sedar-sedar dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.

Selain dari itu jika sistem berbagai dan berbilang parti ini sudah tidak boleh bertahan lagi mungkin sistem satu parti perlu di wujudkan dalam negara ini dan dalam sesuatu sistem satu parti wujud negara mesti berwajib untuk mendapatkan dan mencari kepimpinan yang kuat dan ‘magnanimous’ terus-terusan untuk mengambil alih warisan kepimpinan setidak-tidaknya selama 50 atau enam puluh tahun yang akan datang atau lebih lama dari itu.

Masanya sudah sampai untuk semua pihak untuk melakukan usaha penyatuan rakyat yang sudah terlalu berpecah belah oleh kerana politik perkauman yang kini sangat menebal di dalam negara kita ini. Kita sudah nampak ‘pattern’ sokongan politik berdasarkan kepada perkauman.

Seperti yang saya sebutkan di atas wakil-wakil dari berbilang kaum ini sudah dikenalpasti. Kita nampak rakan kita kaum Cina memang tidak syak lagi boleh mewakilkan pimpinan DAP untuk melakukan transformasi politik yang besar-besaran ini. Kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini ada PAS dan pemimpin gantian di dalam UMNO (lain dari pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini) dan India boleh di wakilkan oleh parti yang mewakili kaum itu.

Mulakan politik dan sistem kenegaraan yang baru. Apa yang penting kita mesti mencapai perpaduan kaum yang sejati dalam negara ini dan tanpa penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan seperti kegiatan rasuah dan menjahanamkan harta rakyat yang ada di dalam perbendaharaan rakyat itu.

Perkara ini bukan satu usaha yang mudah tetapi ia tetap akan mampu dilakukan dengan baik dan jayanya asalkan sahaja semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita yang kaya raya dengan anugerah Tuhan ini kekal sebagai negara yang mempunyai daulat dan ‘integrity’ yang tinggi sampai bila-bila.. Apa yang penting ialah kemahuan yang kuat serta sikap berkorban yang tinggi serta tidak ada sifat dendam mendendam lagi.

Jika usaha seperti ini tidak mahu di lakukan maka di dalam pilihanraya yang akan datang ini, peralihan kuasa akan dilakukan dengan sistem perundangan akan terlaksana terhadap mereka yang telah melakukan kesalahan besar terhadap negara ini.

Bagi rakyat mereka mahu melihat perubahan. Jika perubahan boleh dilakukan dengan rundingan semua pihak tidak ada siapa dikalangan rakyat tidak mahu menerimanya. Kita utamakan keharmonian sistem politik negara, dan dalam melaksanakannya banyak pihak wajar berkorban semata-mata untuk negara.

Laksanakan sumpah dan janji untuk berjuang bagi kepentingan negara dan bukan untuk yang lain. Apa yang terpenting sekarang ini rakyat sudah jemu dengan politik retorik dan tipu helah dan membudayakan politik menghina dan memperlekehkan pihak yang ingin menuju kemajuan.

Berfikir dan bertindak lah dalam ketenangan kerana segala masalah akan terlerai hanya dalam keadaan pemikiran kita yang tenteram dan aman. Let’s go back to basic.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan