Cari Blog Ini

Selasa, 11 Disember 2012

Lajim lempar 'bom' melalui Akuan Bersumpah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (gambar) membuat Akuan Bersumpah (SD) hari ini dengan mendakwa pemimpin BN Sabah telah menggunakan balak untuk kekayaan ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah.

Menurut Lajim dalam SD itu, buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah. 

"Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah," katanya.

Beliau juga berkata, wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. 

Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah, katanya.

"Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah," tegas Lajim dalam SD itu.


Berikut adalah akuan bersumpah Lajim Ukin.



AKUAN BERSUMPAH

Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat
Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19,
Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan,
Penampang 88200 Kota Kinabalu dengan sesungguhnya dan sebenarnya
membuat perakuan berikut:

1.                 Saya adalah seorang ahli politik yang telah
memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak
merdeka dalam tahun 1957;

2.                  Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan
Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat
bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994.
Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3.                  Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan
Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai
pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama
diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4.                  Sepanjang penglibatan saya dengan UMNO, saya telah
dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 2000. Majlis
Tertinggi UMNO adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam
UMNO dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO, termasuklah
hal ehwal kewangannya;

5.                  Saya juga menganggotai Badan Perhubungan UMNO
Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO di
peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6.                  Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau
mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’
Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang
dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7.                  Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa
pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang
niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini
dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan
Dato’ Seri Musa Aman;

8.                  Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen,
dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia
digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan
derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi
Ketua Menteri;

9.                  Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang
penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan
dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak
pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i.               Sebarang perbincangan
yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah
RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii.               Sebarang pengisytiharan
yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada
UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii.               Sebarang bukti urusniaga,
transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO
atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO
Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv.               Sebarang laporan atau bukti
yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40
juta itu;

10.              Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa
kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar,
menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu
dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang
hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah
tidak mendapat pulangan setimpal;

11.              Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber
untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin
kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua
Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan
kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12.              Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan
di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak
pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari
penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai
rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya
dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin
kerajaan Sabah;

13.              Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada
mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara
ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen
pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14.              Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat
dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di
peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.


Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan